Wednesday, February 6, 2008

KJ CALON PARLIMEN REMBAU

SEREMBAN, 6 Feb (Bernama) -- Cakap-cakap bahawa Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan bertanding untuk kerusi parlimen di negeri ini semakin menjadi kenyataan apabila namanya telah pun dicalonkan untuk proses tapisan keselamatan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Khairy merupakan salah seorang dari lima calon yang namanya telah dipersetujui oleh mesyuarat bahagian Rembau baru-baru ini untuk bertanding di kawasan berkenaan.

"Khairy, saya fikirkan sebagai Ketua Pemuda Rembau tidak ada apa sangat tetapi kita setuju kerana peranannya sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri hari ini.

Sebelum ini, status Khairy tidak begitu jelas kerana ada orang meramalkan beliau akan bertanding di Selangor.

Wakil rakyat Rembau sekarang, Datuk Firdaus Muhammad Rom Harun turut termasuk dalam senarai lima calon itu.

Kata Mohamad, walaupun bahagian itu telah mencalonkan Khairy, keputusan muktakhir terletak pada pemimpin parti iaitu bapa mertuanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Enam bahagian yang lain seperti Kuala Pilah, Tampin, Jelebu, Rasah, Teluk Kemang dan Jempol masing-masing sudah menyerahkan senarai calon masing-masing kecuali Umno bahagian Seremban.

"Saya diberitahu bahawa mereka hanya akan menyerahkan senarai alon mereka sebaik sahaja pengumuman pembubaran parlimen dibuat," katanya.

Beliau berkata, sebaiknya, senarai itu diserahkan lebih awal untuk menjalani proses tapisan keselamatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis.

Sementara itu, dalam isu lain, Mohamad memberitahu, sebuah plaza tol baru akan dibina berhampiran Labu untuk memudahkan pengguna Lebuhraya Utara Selatan memasuki bandar Seremban tanpa kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu pagi.

Plaza tol ini akan membolehkan pengguna yang mahu ke Lobak dan Temiang, terus ke destinasi mereka tanpa melalui pusat bandar Seremban, katanya.

No comments: