Sunday, November 16, 2008

ATM GAGAH MEMPERTAHANKAN NEGARA

Oleh Raja Syahrir Abu Bakar

PERBARISAN Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-75 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Khamis lalu nyata meriah sekalipun ketumbukan itu baru-baru ini menerima berita yang agak ‘merunsingkan’.

Lebih tepat, berita yang dimaksudkan adalah mengenai penangguhan pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 yang dijangka hanya mula diperoleh pada tahun 2011, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan dalam keadaan negara mengalami krisis ekonomi global, memberi ruang peruntukan itu disalurkan kepada sesetengah segmen masyarakat yang lebih memerlukan.

Dengan tenang, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal pada sidang akhbar selepas perbarisan itu memberitahu, pesawat-pesawat Nuri yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berkeadaan baik dan boleh digunakan sehingga 2015.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang turut hadir lantas mempersetujui kenyataan Abdul Aziz tadi malahan mereka berdua sependapat tempoh tersebut masih boleh dipanjangkan sekiranya ATM, khususnya TUDM meneruskan kerja-kerja penambahkbaikan ke atas Nuri dari semasa ke semasa.

“Penangguhan ini (Eurocopter) tidak menjejaskan ‘state of readiness ATM.’

Mencipta sejarah

“Selama ini kita telah menjalankan tugas dengan baik menggunakan Nuri dan ia juga digunakan sewaktu kita menghadapi ancaman Komunis, apatah lagi hari ini keadaan negara aman,'' kata Abdul Aziz yakin.

Sementara itu, dua lagi ketua perkhidmatan iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar turut mempamerkan keyakinan di wajah masing-masing sepanjang sidang akhbar berlangsung.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz memberitahu, ATM mencipta sejarah apabila muncul sebagai satu-satunya angkatan tentera di dunia yang berjaya mengakhiri ancaman pemberontakan bersenjata.

Beliau menambah, sejak ATM menyertai misi pengaman ke Congo, Afrika pada tahun 1960 menerusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), pasukan itu telah terlibat dalam tujuh misi pengaman serta 23 misi pemerhati serta staf tentera membabitkan kira-kira 20,1000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Beliau yakin kesemua pembabitan ini menandakan pengiktirafan dunia yang berpanjangan terhadap angkatan tentera negara, khususnya daripada PBB.


Nyata, perolehan lain-lain aset strategik ATM seperti pesawat pejuang Sukhoi, kapal peronda generasi baru, kapal selam Scorpene, kereta kebal Pendekar (PT-91M) dan sistem pelancar roket berganda, Astros mampu mewujudkan elemen cegah rintang yang menggerunkan terhadap negara.

Sementara itu dalam perutusannya sempena sambutan Jubli Intan ATM baru-baru ini, Muhammad Ismail mengakui suasana dunia dalam abad ke-21 ini akan terus bergolak dengan ancaman dari dalam dan luar negara yang sukar untuk ditafsirkan.

“Sesungguhnya, Tentera Darat sentiasa mengikuti perkembangan strategik ini dan secara proaktif telah merangka satu rancangan komprehensif untuk membangunkan sebuah angkatan darat yang boleh dibanggakan.

“Kita sedang bergerak berlandaskan satu visi untuk menjadikan Tentera Darat sebuah angkatan yang mempunyai kebolehan serta keupayaan untuk menangani pelbagai misi dalam sesuatu masa,'' ujarnya.

Abdul Aziz pula dalam perutusannya tidak ragu-ragu apabila menyatakan kehadiran kapal selam pertama negara, (Kapal Diraja) KD Tunku Abdul Rahman yang dijangka pada awal tahun depan bukan sahaja mampu mempengaruhi keadaan keselamatan maritim serantau, malah menjadi cegah rintang kepada musuh yang cuba mengancam kepentingan negara.

“Dengan perolehan kapal selam ini (dan kapal selam kedua KD Tun Abdul Razak yang dilancarkan Oktober lalu), ditambah dengan aset-aset strategik sedia ada seperti helikopter Super Lynx dan Fennec sebagai force-multiplier', ia pasti meningkatkan keupayaan peperangan TLDM dengan signifikan'' tegasnya.

Lebih bermakna, TLDM baru-baru ini dengan kerjasama Tentera Darat dan TUDM berjaya membebaskan anak-anak kapal dua kapal pengangkut negara yang menjadi tawanan dua kumpulan lanun berasingan di Teluk Aden, Somalia.

Malah sehingga artikel ini ditulis, terdapat dua lagi kapal milik TLDM yang sedang belayar di laluan berkenaan untuk mengiringi dan menjamin keselamatan kapal-kapal dagang negara daripada sebarang ancaman.

Azizan dalam amanatnya pula berbangga sebagai pemerintah tertinggi TUDM kerana beliau bukan hanya merayakan sambutan Jubli Emas TUDM tahun ini, malahan juga sambutan Jubli Intan ATM.

“TUDM baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke 50 pada tahun ini. Walaupun usianya masih muda jika dibandingkan dengan penubuhan ATM, namun TUDM telah mula menunjukkan kematangannya.

“Sungguhpun demikian, kewibawaan TUDM dalam melaksanakan tanggung jawab menjamin keselamatan negara sudahpun terserlah semenjak mula-mula ia ditubuhkan lagi.

“Sewaktu menentang pengganas komunis semasa darurat, kuasa udara yang dijunjung oleh TUDM telah dilaksanakan dengan jayanya melalui misi-misi udara dan juga misi-misi bantuan kepada pasukan sahabat seperti Tentera Darat, TLDM dan juga polis,'' katanya.

Nyata keempat-empat panglima itu yakin dengan keupayaan masing-masing dan berita penangguhan pembelian helikopter tersebut langsung tidak merencatkan fokus mereka.

Berbalik kepada perbarisan tadi, selain menerima tabik hormat daripada anggota yang terlibat, Abdul Aziz serta warga ATM lain turut memberikan tabik hormat kepada panji-panji yang diarak.

Beliau turut menyempurnakan upacara simbolik pengisian kapsul masa yang mengandungi harapan, amanat dan cadangannya untuk dibuka oleh panglima angkatan tentera pada 16 September 2033 nanti, sempena 100 tahun penubuhan ATM.