Friday, February 29, 2008

JANGAN GADUH

Penyokong parti tak patut bertindak macam samseng


TEMPOH berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, hanya tinggal sembilan hari lagi dan di sesetengah kawasan, kempen agak sengit sama ada membabitkan Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang dalam usaha mereka menarik hati pengundi di kawasan masing-masing. Walaupun pada pilihan raya umum kali ini tiada isu panas yang boleh mencetuskan kejadian tidak diingini, semua pihak harus sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang. Peraturan berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis harus dipatuhi bagi mengelak kekecohan antara penyokong kedua-dua pihak atau membabitkan penyokong fanatik dengan pihak berkuasa. Kita berharap pemimpin parti-parti politik yang bertanding sentiasa mengingatkan penyokong mereka supaya mematuhi peraturan, bukan mengapi-apikan lagi kemarahan yang mungkin timbul ketika berkempen sehingga penyokong bertindak di luar batas peraturan. Sehingga kini, tiada laporan kekecohan membabitkan parti politik dilaporkan berlaku dan kita berharap keadaan ini berterusan sehingga hari mengundi. Mungkin kes terpencil seperti menghalang pemimpin untuk bertemu pengundi berlaku, namun ia masih terkawal.

Sekiranya keadaan tenang ketika berkempen ini dapat dikekalkan, harapan pihak luar terutama media asing untuk menggambarkan keadaan pilihan raya di Malaysia seperti berlaku di beberapa negara ketika proses pilihan raya, tidak kesampaian. Fenomena kempen bagi pilihan raya umum dan pilihan raya kecil agak berbeza kerana ketika proses pilihan raya kecil, biasanya keadaan menjadi panas dengan pelbagai isu sama ada isu nasional atau tempatan. Ini menyebabkan penyokong dan pekerja parti cepat bertindak mengikut perasaan, terutama mereka yang datang dari luar daerah yang tidak mengenali antara satu sama lain. Berbeza dengan pilihan raya umum, penyokong dan pekerja parti biasanya mengenali antara satu dengan lain di sesuatu kawasan, cuma dipisahkan dengan fahaman politik masing-masing. Mereka memberi tumpuan kepada parti serta calon masing-masing dan selepas pilihan raya mereka boleh duduk semeja minum kopi, terutama di kawasan luar bandar. Hanya di beberapa negeri tertentu, keadaan boleh bertukar menjadi panas, berikutan persaingan sengit kedua-dua pihak untuk berkempen dan mempengaruhi pengundi.

Langkah SPR memanjangkan tempoh kempen kepada 13 hari berbanding 10 hari pada pilihan raya umum lalu, harus digunakan untuk berkempen secara tertib. Kita berharap semua pihak mengawasi tindak-tanduk terutama di kalangan penyokong supaya tidak melakukan perkara di luar batasan seperti menakutkan penyokong pihak lawan, petugas pilihan raya termasuk wartawan dan sebagainya. Jika ada sebarang tindak-tanduk melampau sehingga menyebabkan kecederaan, maka pihak yang terbabit akan bertanggungjawab kerana gagal mengawal penyokong mereka. Pilihan raya bukan landasan untuk tindakan ‘ala samseng’ tetapi satu proses untuk memilih kerajaan. Jika pemimpin parti tidak boleh mengawal penyokong mereka, bagaimana mereka boleh mentadbir negara atau negeri jika menang nanti. Berucaplah berjam-jam tetapi jangan sama sekali membenar atau membiarkan penyokong bertindak keterlaluan. Jika tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, bincangkan dan cari jalan penyelesaian. Berkempenlah dengan penuh tata tertib dan tunjukkan amalan demokrasi di Malaysia sihat tanpa gangguan yang tidak perlu.

(Rencana Pengarang Berita Harian)

Thursday, February 28, 2008

Wednesday, February 27, 2008

MACAM-MACAM BOLEH JADI

WASHINGTON: Satu gambar Senator Barack Obama berpakaian tradisional ala Muslim ketika melawat Kenya pada 2006 yang disiarkan dalam internet mencetuskan pertengkaran dalam kempen presiden parti Demokrat Amerika Syarikat.

Bapa Obama yang sudah meninggal berasal dari Kenya dan Obama melawat negara itu pada 2006, menarik perhatian beribu-ribu penyokongnya.

Gosip dan berita dalam laman web The Drudge Report yang menyiarkan gambar itu kelmarin mendakwa gambar itu disediakan "kakitangan Hillary" dan memetik satu e-mel daripada pembantu kempen tidak dikenali. Drudge bagaimanapun tidak memasukkan bukti e-mel dalam laporan itu.

"Saya tidak pernah melihat gambar itu sebelum ini," kata jurucakap Hillary Howard Wolfson semalam. "Sudah tentu saya tidak mengetahui sama ada anggota pasukan kempen kami yang melakukannya."

Pengurus kempen Obama, David Plouffe serta merta menuduh kempen Hillary melakukan tindakan "paling memalukan, serangan yang dirancang untuk menakut-nakutkan pengundi."

Penasihat dasar luar, Susan Rice berkata, penyiaran gambar itu adalah sesuatu yang bertujuan memecah-belahkan rakyat dan berkata "cara hidup dan budaya di negara lain tidak wajar dicemuh dan dikutuk."

Pengurus kempen Hillary Maggie Williams berkata reaksi kempen Obama menyemarakkan kemarahan dan mengalih perhatian pengundi.

"Cukuplah," kata Williams dalam satu kenyataan. "Jika kempen Barack Obama mahu mengatakan bahawa penyiaran gambarnya memakai pakaian tradisi Somalia adalah sesuatu yang akan memecah-belahkan rakyat, mereka patut merasa malu. Hillary Clinton pernah memakai pakaian tradisi negara yang dilawatinya dan gambar itu disiarkan secara meluas.

"Ini tidak lebih daripada cubaan jelas dan telus untuk mengalihkan perhatian daripada isu serius yang dihadapi negara kita pada hari ini dan cubaan memecah belahkan rakyat walaupun mereka sendiri kata mahu mengelak perpecahan itu."

Dalam telepersidangan dengan wartawan, Jeneral Bersara Scott Gration, penasihat Obama yang menemani senator Illinois itu ke Kenya dua tahun lalu, berkata senator itu berada di sana untuk mempelajari bagaimana puak tempatan menguruskan diri mereka.

"Untuk tujuan itu, Senator Obama diberi satu pakaian dan sebagai tetamu beliau adalah tetamu yang baik, mengambil pakaian itu dan mereka menggalakkannya untuk mencuba," kata Gration. "Ia adalah sesuatu yang kami turut lakukan." (Berita Harian)

GOTONG ROYONG DI SUNGAI PETANI









GAMBAR OLEH HAH

Tuesday, February 26, 2008

UTAMAKAN PEKERJA TEMPATAN









SUNGAI PETANI, 25 Feb (Bernama) -- Masalah kebanjiran pekerja asing di kilang-kilang sekitar Tikam Batu dan pembuangan sisa toksik di Sungai Korok dekat sini hari ini mendapat perhatian Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Katanya beliau akan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dibangkitkan oleh penduduk kawasan berkenaan secepat mungkin.

DS Zainuddin berkata masalah kebanjiran pekerja asing di kilang-kilang sekitar Tikam Batu sehingga menjejaskan peluang pekerjaan bagi pekerja-pekerja tempatan, tidak seharusnya berlaku.

"Ini kerana kerajaan menanam modal untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bukan sebaliknya," katanya kepada pemberita di sini, dan menambah bahawa beliau akan membincangkan perkara itu dengan kementerian yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

Merujuk kepada pencemaran Sungai Korok pula, DS Zainuddin berkata penduduk tempatan mengadu mengenai masalah pembuangan sisa-sisa toksik oleh kilang-kilang kertas dan bateri di kawasan itu ke sungai berkenaan.

Katanya beliau akan mengutarakan masalah itu untuk perhatian Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), dan menggesa pihak berkenaan menyiasat kejadian itu dengan segera.

"Saya akan beri perhatian sepenuhnya dari segi keselamatan dan kesihatan penduduk supaya tidak terjejas," katanya.

Masalah-masalah itu ditimbulkan oleh penduduk Kampung Regent, Tikam Batu dekat sini dalam pertemuan mereka dengan Zainuddin, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Petani, yang mengadakan lawatan di kampung berkenaan, hari ini.

Monday, February 25, 2008

SELAMAT, AMAN DAN MAKMUR

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan manifesto Barisan Nasional bagi pilihan raya umum ini yang mengandungi misi dan visi jelas untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Sebanyak lapan perkara menjadi tunjang dan ikrar manifesto kali ini, bertemakan Selamat, Aman dan Makmur, yang disertakan dengan laporan kemajuan yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN sepanjang 2004 hingga tahun 2007.

Kelapan-lapan perkara berkenaan ialah ekonomi, pembangunan seimbang, pendidikan, undang-undang dan keselamatan awam, perkhidmatan awam, membanteras rasuah dan meningkatkan urus tadbir, agama dan perpaduan dan dasar luar negara.

Di bawah tajuk ekonomi, BN berikrar untuk :

 meningkatkan produktiviti, pendapatan dan daya saing negara;

 menangani kesan kenaikan harga bagi menjamin kualiti hidup rakyat yang bermutu;

 memperkasa peranan sektor swasta sebagai enjin utama menjana pertumbuhan ekonomi negara;

 memupuk dan membantu satu juta syarikat dan usahawan IKS dalam masa lima tahun;

 menjana lebih dua juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam masa lima tahun;

 mengurangkan defisit fiskal negara bagi membolehkan lebih banyak dana digunakan untuk tujuan pembangunan, tanpa meningkatkan cukai.

 melaksanakan pelan pembangunan kelima-lima koridor ekonomi bagi menjana pertumbuhan, pelaburan, serta peluang pekerjaan ke seluruh pelosok negara.


...lagi..

CALON BN BAGAN DATOH KINI ADA PHD

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Senat Universiti Putra Malaysia (UPM) pada mesyuaratnya 21 Feb lepas, meluluskan pengurniaan Ijazah Doktor Falsafah (PhD)dalam bidang Komunikasi kepada Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Dr Zahid akan menerima ijazah kedoktorannya pada majlis konvokesyen UPM pada Oktober depan, kata Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah Prof Dr Hasanah Mohd Ghazali dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menyempurnakan pengajiannya, Dr Zahid telah menyiapkan tesis bertajuk "Manifesto Barisan Nasional Sebagai Agenda Akhbar Bahasa Melayu Semasa Tempoh Kempen Pilihan Raya Umum".

Kajian tersebut dijalankan untuk mengenal pasti penggunaan manifesto Barisan Nasional (BN)sebagai agenda akhbar bahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian ketika pilihan raya umum bagi tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Dr Zahid ketika diminta mengulas mengenai pengurniaan itu berharap kejayaannya menerima PhD pada usia 55 tahun akan mendorong golongan muda untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menyifatkan dorongan besar kepada kejayaannya berdasarkan pembelajaran sepanjang hayat dan berharap ia akan mendorong anak-anaknya untuk mengikut jejak langkah beliau.

"Saya harap kejayaan ini akan mendorong rakan-rakan politik terutamanya yang lebih muda untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kalau saya yang berumur 55 tahun boleh melakukannya, golongan muda, sepatutnya merasa tercabar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tesis yang dijalankan, Dr Zahid berkata berdasarkan kajian itu, manifesto yang disifatkan sebagai janji BN menjadi asas kepada sokongan dan kemenangan BN dalam pilihan raya umum.

Jika manifesto yang diumumkan itu menyediakan sesuatu yang baik untuk rakyat, kesimpulan akan dizahirkan melalui jumlah undi popular, seterusnya peningkatan kerusi yang dimenangi BN, katanya.