Monday, September 3, 2007

RADIO24 UNTUK KEPERLUAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Radio24, stesen radio berkonsepkan berita yang pertama di negara ini yang beroperasi secara 24 jam sehari diyakini dapat memainkan peranan bagi memenuhi keperluan rakyat untuk bukan sahaja mendapatkan maklumat, tetapi maklumat yang sah.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata stesen radio kendalian Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu yang memulakan siaran hari ini, bakal memainkan peranan penting untuk membekalkan berita dan maklumat sebenar dan semasa yang kini dirasakan gagal dilaksanakan oleh pembekal maklumat tradisional yang sedia ada iaitu televisyen, radio dan akhbar.

"Kementerian Penerangan memberi sokongan padu terhadap usaha ini di atas kesedaran bahawa masa sudah berubah dan penyampaian maklumat kepada rakyat menerusi radio dan televisyen tidak lagi dimonopoli penyiar awam.

"Saya yakin dan percaya pengendalian Radio24 secara komersial oleh Bernama, dengan identiti tersendiri dan berlatarbelakangkan rekod prestasinya selama 40 tahun sebagai agensi berita nasional yang berwibawa, akan dapat menarik ramai pendengar," katanya ketika melancarkan Radio24 di sini hari ini.

Radio24 memulakan siarannya pada jam 6 pagi hari ini, melalui frekuensi 93.9fm dan fasa pertama siaran Radio24 ini terhad kepada kawasan Lembah Klang yang mempunyai jumlah penduduk seramai empat juta orang, dan fasa kedua akan dikembangkan ke seluruh negara.